22 April 2009

Majlis Pelancaran “Beli Buku ITNM & Menangi Hadiah Bernilai RM100,000”

Peraduan dan kuiz sudah kerap dianjurkan oleh pelbagai syarikat yang bertujuan untuk mempromosikan produk dan perkhidmatan mereka. Namun jarang atau tidak pernah peraduan mahupun kuiz dianjurkan oleh syarikat penerbitan buku. Hal ini berlaku kerana kebanyakan penerbit buku kurang yakin dengan penganjuran peraduan yang dijangka kurang menerima sambutan.
Walaupun industri penerbitan di Malaysia dianggap sebagai Industri Kecil Sederhana (IKS), Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) berhasrat mengubah semua paradigma ini dengan menganjurkan Peraduan “Beli Buku ITNM & Menangi Hadiah Bernilai RM100,000”. Peraduan ini dianjurkan sempena penyertaan ITNM dalam Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2009 yang akan berlangsung pada 17 sehingga 26 April 2009.
Majlis pelancaran peraduan ini telah berlangsung di Pulitzer Corner, MPH cawangan Mid Valley Megamall pada 22 Mac 2009. Y.B. Dato’ Saifuddin Abdullah, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi telah sudi melancarkan peraduan yang menawarkan kereta Perodua MyVi sebagai hadiah utama.
Majlis dimulakan dengan bacaan doa memohon keberkatan dalam penganjuran peraduan ini. Kemudian Pengarah Urusan ITNM, Encik Mohd Khair Ngadiron berucap mengalu-alukan kesudian Dato’ Saifuddin melancarkan peraduan “Beli Buku ITNM & Menangi Hadiah Bernilai RM100,000”. Dalam ucapannya juga, Encik Mohd Khair memberikan penerangan rasional penganjuran peraduan yang mendapat tajaan Perodua Sdn. Bhd. dan AmBank Group. Beliau menganggap peraduan ini sebagai penghargaan dan insentif kepada pembaca yang berusaha membudayakan intelektual dengan membaca semua buku terbitan ITNM.
Dalam ucapan pelancaran pula, Dato’ Saifuddin memuji usaha ITNM menganjurkan peraduan ini yang dianggap sebagai langkah bagi memugar kembali industri penerbitan ke tahap yang sewajarnya. Beliau turut menyarankan supaya semua penerbit buku mencari idea untuk memasarkan produk itu dengan sebaiknya. Salah satu langkah yang dicadangkan oleh beliau adalah menggabungkan buku dengan filem, animasi, komik, permainan video, selain dijenamakan dalam bentuk produk permainan.
Sebelum majlis bersurai, semua pengedar dan kedai buku mengadakan sesi ramah mesra bersama Dato’ Saifuddin yang merupakan seorang daripada tonggak dalam pembangunan industri buku. Peraduan ini mendapat kerjasama Majlis Buku Kebangsaan Malaysia dan Majlis Industri Buku Malaysia. Ia turut dijayakan oleh lebih 30 kedai buku di seluruh Malaysia yang memainkan peranan untuk mengedarkan borang peraduan.

-->
English


Tiada ulasan: